News

Diskaun Tol Elektronik 10% di Lebuhraya Pantai Timur Pada Hari Natal

ANIH Toll Plaza

Sempena menyambut perayaan Hari Natal bakal tiba pada 25 Disember ini, ANIH Berhad, pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) mengumumkan diskaun tol sebanyak 10% untuk semua pengguna yang membuat bayaran secara elektronik di KLK dan LPT 1.

Diskaun ini akan ditawarkan secara 24 jam, bermula jam 12.01 pagi hari Ahad, 25 Disember 2016. Insiatif ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Syarikat terhadap komuniti, selain bertujuan memberi peluang kepada pengguna membuat pilihan dan menikmati nilai tambahan dengan bayaran tol yang lebih rendah pada musim perayaan.

Selain daripada itu, ANIH Berhad juga turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai langkah untuk membantu pengguna menikmati perjalanan yang selesa di KLK dan LPT 1 pada waktu puncak di musim perayaan Hari Natal.

“Pengenalan jadual TTA sempena Hari Natal pula bertujuan untuk membantu menyuraikan aliran trafik ke waktu luar puncak, sekali gus membantu pengguna yang ingin ke pantai timur untuk menikmati perjalanan yang selesa,” jelas Pengarah ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein.

Jadual TTA yang diperkenalkan ANIH Berhad sejak 2009, terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu dari Lembah Klang ke negeri-negeri dan bandar-bandar utama di pantai timur Semenanjung Malaysia. Ia dirangka berdasarkan kepada analisis pergerakan trafik pada waktu puncak setiap kali musim perayaan pada tahun sebelumnya.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh rujuk jadual TTA dibawah.

Christmas TTA_ANIH Berhad