News

Proton Yakin Akan Pulih Dengan Sokongan Dana RM1.5 Billion Dari Kerajaan

 

AlamiProton (15)

Merujuk kepada pengumuman rasmi yang dibuat oleh Yang Berhormat Dato ‘Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dimana Kerajaan Malaysia telah meluluskan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion kepada Proton dalam usaha pemulihan perniagaan syarikat automotif negara itu, Proton merakamkan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia di atas sokongan yang diberikan.

“Pengumuman oleh kerajaan akan menjadi pemangkin kepada pelan pemulihan Proton yang merangkumi pelancaran tiga model baharu tahun ini, bermula dengan Perdana. Dengan pelantikan pengurusan yang baharu, kami yakin syarikat akan kembali pulih,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dato’ Ahmad Fuaad Kenali.

Proton akan terus meningkatkan produk dan perkhidmatannya untuk memenuhi kehendak pelanggan dengan lebih baik. Setakat ini, Proton telah menghasilkan pelbagai model dalam semua segmen, sama ada melalui keupayaan yang dibangunkan sendiri atau kerjasama yang terjalin dengan syarikat pengeluar kereta lain.

“Proton juga sentiasa berhubung dengan rakan-rakan strategik untuk mencari peluang kerjasama untuk mempertingkatkan penawaran produk dan mengurangkan masa untuk memasarkan produk. Bantuan dari kerajaan akan memperkukuh keyakinan rakan kongsi perniagaan kami,” tambah Dato’ Fuaad.

Proton juga memahami bahawa kemampanan syarikat akan memberi kesan kepada ekosistem industri automotif tempatan yang melibatkan vendor, pembekal, peniaga, pengusaha kenderaan pra-milik dan pelanggan kami yang selama ini setia dan menyokong Proton.

“Kami menghargai bantuan yang diberikan dan mengakui semua fakta yang diketengahkan oleh Kerajaan. Kami mengalu-alukan penubuhan pasukan petugas itu dan mengalu-alukan kerjasama dengan lebih rapat demi pertumbuhan masa depan Proton,” Dato’ Fuaad meneruskan.

“Bagi pihak Warga Proton, ini sudah tentu akan meningkatkan semangat 12,000 orang pekerja Proton,” akhiri Dato’ Fuaad.