News, SUV

Mazda CX-3 2.0 dilancarkan pada harga RM131,218!

Mazda_CX3_Launch (3)

Baru-baru ini, Bermaz Motor telah melancarkan produk terbaru mereka, sebuah SUV kompak yang dikenali sebagai Mazda CX-3.

Mahu lari daripada kebiasaan dan tidak mahu disifatkan sebagai CX-5 versi lebih kecil, Mazda memanggil CX-3 sebagai sebuah ‘Freestyle Crossover’. Apa yang pasti, jentera ini memang menarik perhatian dengan penampilan dan ciri lengkap yang ada padanya.

Mazda_CX3_Launch (7)

CX-3 ditawarkan pada harga RM135,143 seunit (di atas jalan termasuk insurans). Memang agak mahal jika dibandingkan dengan pesaing langsungnya iaitu Honda HR-V yang berharga RM114,062 seunit untuk varian paling  tinggi, V.

Biarpun ada dipasang oleh AutoAlliance (AAT) di Thailand, CX-3 ini bagaimanapun dibawa masuk dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari kilang Mazda di Ujina, Hiroshima, Jepun.

Mazda_CX3_Launch (4)

Kenapa tidak dibawa dari Thailand? Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz Motor, Datuk Seri Ben Yeoh menyatakan bahawa CX-3 keluaran AAT tidak dapat dibawa masuk ke Malaysia kerana kandungan tempatannya tidak mencapai 40% bagi membolehkannya menikmati pengecualian tarif Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA)

Jadi, untuk peringkat awal, sebanyak 2,000 unit CX-3 CBU akan ditawarkan. Sejak tempahan dibuka beberapa bulan lalu, lebih 700 unit CX-3 telah ditempah.

Mazda_CX3_Launch (17)

“Kami sedang menilai kemungkinan untuk memasang CX-3 di Malaysia. Namun, itu semua bergantung kepada permintaan daripada pasaran tempatan,” jelas Pegawai Ekskutif  Mazda Motor Corporation, Hiroshi Inoue.

Sekiranya pelan CKD CX-3 menjadi kenyataan, jentera tersebut akan dihasilkan di kilang Mazda di Kulim, Kedah. Pasti akan ada pengurangan harga, namun masih belum dapat dipastikan bagaimanakah spesifikasinya nanti.

Ditawarkan dalam satu varian sahaja, CX-3 sarat dengan teknologi SkyActiv.

Mazda_CX3_Launch (14)

Dibina di atas platform Mazda2, CX-3 dijana oleh enjin SkyActiv-G bersesaran 2.0 liter. Mampu menjana 154hp dan tork 204, kuasa itu disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam kelajuan.

Model kelima dalam rangkaian kenderaan generasi baharu Mazda itu mengaplikasikan bahasa rekaan KODO – Soul of Motion. Bahagian hadapan diserlahkan menerusi penggunaan lampu utama LED automatik dengan AFS, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus LED depan belakang.

Mazda_CX3_Launch (16)

Penampilan itu diserlahkan lagi dengan rim aloi bersaiz 18 inci dan bumbung suria. Anda boleh memilih daripada lima warna iatu merah, putih, hitam, kelabu dan biru.

Menjengah ke ruang kabin, ia tidak jauh bezanya dengan apa yang boleh anda lihat pada Mazda2. Konsol tengah papan pemuka dilengkapi sistem ketersambungan MZD Connect  dengan skrin sentuh bersaiz tujuh inci dan Commander Control, Head-Up Display (HUD), butang Sport, sistem melahu i-Stop dan banyak lagi.

Mazda_CX3_Launch (15)

Dari aspek keselamatan pula, SUV kompak ini dibekalkan dengan enam beg udara, Hill Launch Assist (HLA), Emergency Stop Signal (ESS), selain ABS bersama EBD, DSC dan TCS.

Pendek kata, CX-3 memang memiliki pakej yang lengkap. Sudah pasti, harganya juga tidaklah murah.

Tetapi, dengan reka bentuk, semua ciri menarik serta jaminan dan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, tidak dinafikan bahawa CX-3 boleh jadi satu pembelian yang berbaloi.

Teks oleh Syukran Zainuddin (mekanika