Original article here.
Subaru bukanlah satu jenama yang asing dalam industri pengeluaran kereta berbentuk station wagon. Malah jika dilihat beberapa tahun sebelum ini, Subaru telah menawarkan pelbagai jenis wagon, dari Subaru Impreza sehinggalah ke Subaru Legacy. Kini, wagon yang terbaru akan berada di pasaran iaitu Subaru Levorg, sejenis wagon yang berada dalam wagon segmen C+ , yang mana akan diterangkan dengan lebih lanjut di bawah.
Dari mula lagi, Subaru Levorg direka bukan sekadar berfungsi sebagai wagon, tetapi turut mempunyai ciri-ciri pemanduan kereta sport. Menyambung semula identiti model keluaran generasi kelima Subaru Legacy, Subaru Levorg yang baru ini mempunyai tapak kereta yang lebih kecil berbanding Subaru Legacy. Walaubagaimanapun, Levorg mampu menawarkan ruang but sebanyak 486 liter, lebih besar berbanding 459 liter yang ada pada generasi keempat Subaru Legacy. Malah ruang tempat duduk untuk penumpang telah diluaskan berbanding generasi keempat Legacy yang mempunyai ruang yang lebih kecil, iaitu 25 mm lebih kecil daripada Levorg.
Subaru Levorg menggunakan enjin 1.6-liter DIT yang baru, yang mana menurut Subaru, “mempunyai kuasa kelajuan (power output) yang serupa dengan 2.5-liter yang ada pada generasi kelima Legacy, tetapi mempunyai tahap torque yang lebih tinggi dari Legacy”. Dengan sebanyak 250Nm torque yang maksimum dengan hanya menggunakan 1,800rpm, memecut dengan laju menjadi perkara yang mudah. Kami ada bertanya kepada jurutera Subaru sekiranya kuasa kelajuan boleh ditambah dengan lebih tinggi, dan kata mereka, ianya sememangnya boleh ditambah, tetapi perlu menukar kepada satu kotak gear yang baru, malah akan menggunakan minyak dengan lebih banyak dari biasa.
Penggunaan enjin turbo 1.6-liter ini sebenarnya mengikut trend yang terkini, di mana ia menawarkan keseimbangan yang terbaik di antara penggunaan minyak dan prestasi kereta. Walaubagaimanapun, keseronokan memandu masih lagi dikekalkan, kerana menurut Russ Swift, Levorg berfungsi seperti enjin 2.5-liter.
Kami turut menanyakan sekiranya enjin DIT 1.6-liter ini boleh digunakan pada model-model Subaru yang lain, seperti Subaru XV atau Subaru BR-Z, namun jurutera Subaru berkata ianya tiada dalam perancangan mereka, sekurang-kurangnya buat masa ini. Bagaimana pula dengan Levorg STI? Pengerusi Motor Image Taiwan berkata Levorg versi STI tidak akan berada di pasaran buat masa yang terdekat, tetapi mereka telah pun mula mengusahakan untuk model-model STI yang lain.
Dari segi keselamatan, Subaru Levorg sememangnya mengagumkan. Levorg dipasangkan dengan Subaru Rear Vehicle Detection (SRVD), yang mana mengandungi Blind Spot Detection, Lane Change Assist dan Rear Cross Traffic Alert. Blind Spot Detection menggunakan sensor radar di bahagian belakang kereta dan mempunyai penunjuk visual di kedua-dua belah cermin sisi supaya dapat memberi amaran kepada pemandu menerusi penunjuk yang akan menyala sekiranya terdapat kenderaan yang berada dalam titik buta pemandu. Lane Change Assist pula akan menghidupkan penunjuk visual tersebut sekiranya terdapat mana-mana kenderaan yang menghampiri dari laluan sebelah apabila pemandu menggunakan signal untuk menukar laluan. Akhir sekali, Rear Cross Traffic Alert dapat mengesan kenderaan yang menghampiri pemandu semasa pemandu mahu keluar dari tapak letak kereta dan sistem tersebut akan mengeluarkan bunyi amaran dan penunjuk visual juga akan menyala dari cermin sisi untuk memberikan amaran kepada pemandu.
SRVD dipasarkan untuk pelanggan-pelanggan di Taiwan, Filipina dan Vietnam untuk model tahun 2016, manakala untuk pelanggan-pelanggan di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand, SRVD hanya akan berada di pasaran untuk model tahun 2017.
Selain itu, Subaru Levorg juga mempunyai High Beam Assist dan Auto Dimming Mirror. High Beam Assist menggunakan kamera bersepadu yang dipasangkan khas untuk mengesan kenderaan dari arah bertentangan dan akan memilih kecerahan lampu yang bersesuaian sekiranya terdapat kenderaan yang bertentangan di hadapan. High Beam Assist dan Auto Dimming Mirror akan dipasarkan untuk semua negara kecuali Kemboja.
Dari bahagian dalam pula, Subaru Levorg GT-S mempunyai kerusi sport yang eksklusif dengan menggunakan kulit dan mempunyai jahitan berwarna biru yang unik. Jahitan tersebut juga boleh didapati di pintu kereta, di gear kereta, serta di atas stereng kereta.
Manakala Levorg GT menggunakan kerusi kain yang biasa. Kedua-dua GT dan GT-S turut menawarkan empat tempat USB untuk mengecas telefon, dan satu digunakan untuk pelbagai multimedia. Kedua-duanya berkongsi ciri-ciri yang sama termasuk shift paddle, Subaru SI-Drive, arahan suara, alat kawalan kelajuan, butang start-stop automatik, brek tangan elektronik, Emergency Stop Signal (ESS), Tire Pressure Monitoring System (TPMS) dan butang menghidupkan enjin tanpa menggunakan kunci.
Kedua-dua model adalah sangat serupa jika dilihat dari luar, tetapi ada juga sedikit perbezaan. Subaru Levorg GT-S mempunyai cermin sisi yang disalutkan dengan cat berwarna perak, manakala cermin sisi Levorg GT mengikut warna badan kenderaan. Getah 225/45R18 digunakan untuk Subaru Levorg GT-S, manakala Levorg GT menggunakan sepenuhnya getah 215/50R17. Yang menariknya, rim tayar Subaru Levorg GT menggunakan pelindung plastik yang akan menghalakan udara terus ke brek kereta untuk tujuan penyejukan.
Untuk keluaran di Malaysia pula, kami telah berhubung dengan Andrew Lee, Pengurus Umum syarikat Motor Image Malaysia. Katanya, harga untuk Subaru Levorg masih lagi belum ditetapkan ekoran daripada kedudukan matawang negara yang tidak menentu. Memandangkan pelancaran hanya akan diadakan dalam masa enam bulan lagi, ianya masih terlalu awal untuk memikirkan harga pasaran Levorg di Malaysia.
Translated by Omar V.