ANIH Berhad meneruskan usaha mengimarahkan bulan Ramadhan dengan mengedarkan 20,000 pek buah kurma secara percuma kepada pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT) semasa waktu berbuka puasa. Pek buah kurma ini akan diedarkan setiap hari selama sebulan bermula hari pertama Ramadhan di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Karak.
Sebagai tambahan kepada edaran pek buah kurma, Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) akan turut mengedarkan 3,000 pek juadah makanan percuma di kawasan Rehat & Rawat (R&R) terpilih.
Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, pengedaran juadah dan pek makanan percuma ini merupakan inisiatif Syarikat untuk berkongsi keberkatan bulan Ramadhan selain merapatkan ukhuwah serta tanda penghargaan kepada pengguna LPT.
“Sudah menjadi tradisi ANIH Berhad untuk mengedarkan pek penghargaan sebagai tanda terima kasih kepada pengguna LPT setiap kali tibanya Ramadhan. Berbeza tahun sebelumnya, tahun ini kami melakukan sedikit perubahan dengan memberi kurma dan juadah berbuka kepada pengguna yang tidak sempat sampai ke destinasi untuk berbuka puasa. Ini adalah sebagai tanda penghargaan kami kepada pengguna lebuh raya ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Bagi aktiviti pengedaran pek buah kurma, Dato’ Nik berkata aktiviti yang akan dilakukan setiap hari selama sebulan itu akan bermula pada Sabtu, 27 Mei 2017 (1 Ramadan 1438 Hijrah) dari jam 7.00 petang hingga 7.45 petang. Aktiviti itu akan diadakan serentak di 2 plaza tol utama ANIH Berhad iaitu di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Karak.
“Bagi pengedaran pek juadah berbuka yang mengandungi set lauk, nasi, air mineral dan kurma pula akan diedarkan menerusi satu kaunter pandu lalu khas dan akan bermula dari jam 6.30 petang hingga 7.45 petang di tiga lokasi terpilih iaitu dua di R&R Genting Sempah (pada 2 dan 16 Jun 2017) dan di R&R Temerloh (9 Jun 2017).
“Pek juadah berbuka ini adalah inisiatif kali pertama syarikat konsesi dan ia disediakan khas oleh penggerai R&R kami manakala setiap lokasi R&R diperuntukkan sejumlah 1,000 unit pek setiap kali edaran,” katanya.
ANIH Berhad juga tidak melupakan golongan memerlukan terutama anak yatim dan golongan yang tidak berkemampuan untuk sama-sama menghayati kedatangan Ramadhan ini dengan memberi sumbangan RM5,000 untuk juadah moreh kepada 10 surau dan masjid di sepanjang jajaran KLK dan LPT 1. Selain itu, sebagai inisiatif kesinambungan tanggungjawab sosial korporat, syarikat turut menyumbang RM2,000 untuk pelajar dan kakitangan Maahad Tahfiz Muhammadi di Kuantan sebagai juadah berbuka puasa.
“Program ini sudah menjadi aktiviti berterusan tanggungjawab sosial dan cara kami menyumbang semula kepada masyarakat, sekali gus merapatkan hubungan antara syarikat korporat terbabit dengan masyarakat,” katanya.