News

Geely Beli 49% Saham Proton dan 51% Saham Lotus

DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) telah mencapai persetujuan dengan syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd (Geely Holding) bagi membolehkan syarikat tersebut membeli sebanyak 49.9% saham Proton.

Proton juga akan menjual keseluruhan pegangan ekuitinya dalam syarikat pembuat kereta dari Britain, Lotus, kepada Geely Holding, sekaligus menamatkan penglibatannya dalam segmen sports car. Ini bermakna, Geely akan membeli sebanyak 51% saham Lotus dari Proton.

Kedua-dua syarikat telah menandatangani perjanjian tersebut di Putrajaya, disaksikan oleh YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Kewangan II baru-baru ini. Kedua-dua pihak bakal menandatangani Perjanjian Muktamad dalam bulan Julai 2017.

Perjanjian ini akan membolehkan Proton mendapat akses kepada pelbagai platform serta enjin dibawah Geely Holding, disamping menembusi pasaran sedia ada pembuat kenderaan China tersebut, termasuklah pasaran kereta-pemanduan kanan di Asia Tenggara.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar berkata, jenama Proton akan kekal dan bakal mengalami pertumbuhan ketara dengan kehadiran rakan strategik baharu ini.

“Sememangnya hasrat kami adalah untuk menghidupkan semula jenama Proton di mata dunia. Ia merupakan kereta nasional yang pertama dan mempunyai sejarah selama 30 tahun. Perjanjian ini akan menjadi pemangkin yang menjulang semula satu jenama yang dapat dibanggakan oleh semua rakyat Malaysia,” kata Syed Faisal.

Geely Holding, pemilik Volvo Car Corporation dan The London Taxi Company, adalah antara pengeluar utama kenderaan penumpang China. Syarikat tersebut mempunyai operasi di seluruh dunia merangkumi 16 kilang pembuatan, tujuh studio reka bentuk serta lima pusat penyelidikan & pembangunan (R&D). Usaha sama dengan Proton akan membolehkan Geely bertapak di pasaran ASEAN dan meningkatkan penglibatannya dalam industri pembuatan serta R&D serantau.