Honda Malaysia telah melancarkan sebuah Crossover 7-tempat duduk sepenuhnya yang bergaya dan praktikal yang dikenali sebagai BR-V. Crossover baharu ini telah dibangunkan khas oleh pihak Honda R&D Asia Pacific Co., Ltd. (HRAP) untuk pasaran Asia dan Oceania. Ia menjadi model HRAP pertama yang diperkenalkan di Malaysia.
BR-V serba baharu dikuasai oleh enjin 1.5L i-VTEC dan dipadankan dengan kotak gear Continuous Variable Transmission (CVT) yang dibangunkan di bawah “Honda Earth Dreams Technology” untuk meningkatkan penjimatan bahan api serta menawarkan prestasi pemanduan lebih baik. Ia mampu menjana 120PS dan tork maksima 145Nm.
Padat dengan pelbagai ciri praktikal dan nilai tambah yang pastinya menarik minat golongan berkeluarga, BR-V serba baharu tidak berkompromi dengan penampilannya. Rekaan bahagian luaran sebuah SUV itu menyerlahkan penampilan yang aktif dan lasak manakala reka bentuk solid wing pada bahagian hadapan kelihatan begitu kemas dan bergaya. Satu set rim aloi dua tona bersaiz 16-inci, Rel Bumbung dan Lampu Nyalaan Siang (DRL) melengkapkan lagi rupa dan rasa sebuah SUV yang lasak. Kamera dan alat pengesan ketika mengundur juga ditawarkan pada Crossover ini demi memberi kemudahan kepada pelanggannya.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam BR-V serba baharu, anda akan dapat merasai material yang bergaya dan berkualiti tinggi, ruang dalaman luas dan corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. Varian V tampil dengan lebih menarik menerusi pelbagai ciri premium untuk segmen B seperti Paparan Audio bersaiz 6.1-inci dan Pendingin Hawa Automatik, Butang Penghidup Enjin dan Kemasukan Pintar, kemasan kulit, stereng dibalut kulit dan butang kawalan audio.
Bukan itu sahaja, praktikaliti BR-V serba baharu diserlahkan lagi menerusi pelbagai konfigurasi tempat duduk di mana tempat duduk baris kedua boleh dilipat dan dinaikkan (One Touch Tilt & Tumble) menjadi konfigurasi 60:40 dengan hanya satu sentuhan mudah manakala tempat duduk baris ketiga pula hadir dengan konfigurasi Tilt & Tumble 50:50. Sebanyak 11 pemegang tempat minuman jelas memberi kemudahan kepada sebuah keluarga yang besar tanpa perlu kompromi dengan aspek ruangnya.
BR-V serba baharu terkenal dengan pelbagai ciri yang mendahului kelasnya seperti memiliki ruang kargo paling luas (223 liter apabila semua tempat duduk dinaikkan, 539 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat) dan jarak ketinggian dari tanah sehingga 201mm. Honda Malaysia telah menjadikan BR-V serba baharu sebagai sebuah kenderaan yang sangat mampu milik dan pada masa yang sama, padat dengan pelbagai nilai tambah. Dengan pengenalan BR-V serba baharu, Honda Malaysia kini menawarkan rangkaian lengkap kenderaan utiliti menerusi model SUV iaitu CR-V, HR-V sebagai Crossover Kompak dan akhir sekali, BR-V serba baharu sebagai sebuah Crossover 7-tempat duduk.
Dari segi keselamatan, Honda BR-V serba baharu ini telah diiktiraf 5 bintang oleh ASEAN NCAP dan dilengkapi dengan 2 Beg Udara Hadapan SRS, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Pendakian (HSA), Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD) dan ISOFix.
BR-V serba baharu turut menerima penambahbaikan dari segi bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH) yang merangkumi bahagian Bulkhead (BHD) untuk mengurangkan bunyi; penebat pada bahagian dalam kemasan bumbung, hud dan pintu selain menambah baik aspek getaran pada stereng. Hasilnya, BR-V serba baharu dapat menawarkan kualiti pemanduan yang senyap dan selesa untuk seisi keluarga.
Honda Malaysia menawarkan BR-V serba baharu dalam dua varian iaitu E dan V. Varian E ditawarkan pada harga RM85,800 (Harga Atas Jalan dengan Insurans), manakala varian V pula berharga RM92,800 (Harga Atas Jalan dengan Insurans) seunit. Honda Malaysia turut menawarkan jaminan selama 5 tahun tanpa had perbatuan dengan selang servis 10,000km di mana-mana 88 buah pengedar Honda di seluruh negara.
Anda juga boleh meningkatkan lagi eksklusiviti dan praktikaliti kenderaan ini dengan tiga pakej aksesori. Pakej Utiliti yang ditawarkan pada harga RM1,280 merangkumi Visor Pintu, bekas pada bahagian kargo, Trunk Organiser, Pelindung Cahaya Matahari dan Filem Perlindungan pada pintu. Pakej Urban pula terdiri daripada Spoiler Belakang, Pemijak Sisi dan Kemasan Pemijak Kaki ditawarkan pada harga RM2,945. Manakala Pakej Modulo yang berharga RM3,750 pula menawarkan kemasan pada bahagian hadapan dan belakang, selain Skirting Sisi serta Spoiler Belakang.
BR-V boleh didapati dalam 5 warna iaitu Merah (Dark Ruby Red Pearl), Kelabu (Modern Steel Metallic), Perak (Lunar Silver Metallic), Putih (Taffeta White) dan warna baharu, Perang (Golden Brown Metallic).
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai BR-V atau ingin menempah sesi pandu uji, anda boleh mengunjungi mana-mana pengedar Honda berhampiran atau layari laman web www.honda.com.my.