UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), pengimport dan pengedar sah tunggal bagi kenderaan Toyota di Malaysia hari ini melancarkan model Toyota Innova serba baharu.
Toyota Innova serba baharu kini diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (Energy Efficient Vehicle, EEV) oleh kerajaan Malaysia; ia merupakan MPV keluaran Toyota yang pertama menerima kelayakan sedemikian. Dengan insentif EEV yang diterima, UMWT mengembalikan manfaatnya kepada pelanggan dengan penawaran harga yang lebih rendah. Tanpanya, harga MPV berkenaan adalah lebih tinggi daripada yang diumumkan.
Pada majlis pelancaran media model berkenaan, Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki menyatakan, “UMW Toyota Motor adalah antara syarikat yang pertama di Malaysia yang menawarkan MPV, sejak dari pertengahan tahun 1980an lagi. Sejak itu, kami mempunyai pelbagai model dalam barisan produk yang dipasarkan, dengan Innova memenuhi keperluan bagi sebuah MPV saiz sederhana.”
“Bagi generasi keduanya, Toyota telah menaik taraf Innova agar menjadi lebih premium, baik dari penampilan luaran mahupun terhadap ciri-ciri kelengkapannya. Berdasarkan kajian pasaran yang dilakukan, kami mendapati ada permintaan bagi MPV dalam saiz ini, terutama untuk kegunaan keluarga. Model baharu ini dibangunkan untuk memenuhi keparluan seperti itu,” ujarnya.
Reka bentuk luaran baharu yang ditampilkan Innova mencerminkan imej premium seperti yang dapat dilihat pada bahagian atas gril krom, perincian pada lampu utama serta profil sisi yang elegan. Ruang dalamannya juga diberi sentuhan yang sama, dengan penggunaan lampu suasana (ambient light) LED pada bahagian bumbung, stereng balutan kulit serta tombol gear dengan kemasan krom dan perak (bagi varian 2.0G).
Banyak juga ciri-ciri kemudahan baharu yang melengkapi Toyota Innova kini, misalnya sistem kemasukan Pintar & Mula, kawalan pendingin automatik bagi penumpang depan dan belakang serta kotak pendingin (cooler box) di hadapan. Tahap kebisingan dalam kabin juga lebih rendah hasil daripada bahagian penebat yang dipertingkatkan serta penyingkiran bunyi bising dari sumbernya.
Toyota Innova serba baharu dikuasakan oleh enjin 2.0 liter 1TR-FE empat silinder petrol dengan Dual VVT-i (Variable Valve Timing with intelligence) yang memberikan kedua-dua prestasi dan penjimatan yang dipertingkat. Sebagai tambahan, beberapa bahagian di dalam enjin berkenaan juga telah direka semula bagi mengurangkan geseran dan berat, menyumbang kepada penjimatan bahan api yang lebih baik.
Keselamatan pula sentiasa menjadi keutamaan bagi Toyota, dan tentunya lebih-lebih lagi bagi model seperti Innova yang akan dibina untuk kegunaan keluarga. Turut ditawarkan pada model baharu ini ialah kelengkapan ciri-ciri keselamatannya; antara lain merangkumi Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control (TRC), ABS dengan Electronic Brakeforce Distribution (EBD) dan Brake Assist (BA) serta Hill-Start Assist Control yang tersedia bagi Innova varian G. Selain itu, 7 beg udara SRS turut melengkapi model ini untuk keselamatan tambahan, termasuk beg udara bahagian lutut.
Struktur badan Innova serba baharu ini juga telah diperkukuh dengan penggunaan keluli tegangan tinggi pada banyak bahagian. Perkara ini turut menyumbang kepada pengiktirafan 5-bintang bagi perlindungan penumpang dewasa ASEAN NCAP pada Januari tahun ini. Model sama juga baru sahaja menerima anugerah Grand Prix kategori MPV dengan mata tertinggi yang dicatatkan bagi ujian perlindungan penumpang kanak-kanak. Anugerah itu mengiktiraf kenderaan bagi prestasi dalam kemalangan yang dicatatkan mengikut segmen kenderaan.
Seperti versi sebelumnya, MPV generasi kedua ini dipasang di kilang milik UMWT sendiri di Assembly Services Sdn Bhd, Shah Alam, Selangor. UMWT mensasarkan untuk menjual 4,000 unit Innova pada 2017, dan setakat ini ia sudah menerima 500 tempahan.
Toyota Innova serba baharu akan berada di bilik-bilik pameran Toyota seluruh negara bermula 9 Disember 2016. Ia didatangkan dengan jaminan 5 tahun, tertakluk kepada terma dan syarat.
Untuk maklumat lanjut, layari www.toyota.com.my.
Senarai Harga Toyota Innova:
2.0E M/T | 2.0E A/T | 2.0G A/T | |
Semenanjung Malaysia | 109,000.00 | 117,000.00 | 126,000.00 |
Sabah | 111,066.77 | 119,018.43 | 127,991.62 |
Sarawak | 111,066.77 | 119,018.43 | 127,991.62 |
Langkawi | 84,692.06 | 90,102.35 | 96,385.22 |
Labuan | 85,785.68 | 91,159.72 | 97,406.34 |