News, Videos

Perodua Perkenal Model Sedan Terbaru, Bezza Dari Harga RM37k!

Perodua_Bezza_Launch (3)

Perodua baru sahaja melancarkan model sedan terbaru mereka yang dinamakan Bezza.

Kereta sedan kompak segmen ‘A’ ini merupakan model Perodua pertama yang direka sepenuhnya oleh rakyat Malaysia sejak tahun 2014. Dengan bajet RM300 juta, Bezza merangkumi 95% kandungan tempatan.

Perodua Bezza dihasilkan di kilang Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd yang diikitiraf sebagai kilang EEV. Ia mempunyai fasiliti termoden yang menggunakan kadar automasi melebihi 75% (Kilang yang sama menghasilkan Perodua Axia).

https://youtu.be/ocKJHpR-7jk

Nama sedan ini mengambil inspirasi daripada perkataan ‘Beza’ dalam Bahasa Malaysia yang bermaksud ‘yang berbeza’.

Kereta sedan ini sangat berbeza daripada apa yang anda jangkakan daripada sebuah kereta kompak. Dua huruf ‘z’ yang terdapat pada nama Bezza merupai nombor ’22’ dan dengan secara tidak langsung ia merujuk kepada fakta bahawa Perodua telah berada di pasaran selama 22 tahun.

Perodua Bezza 1.3L Advance (11)

Perodua Bezza dipasarkan khusus kepada mereka yang ingin menaik taraf kereta kompak mereka kepada kereta sedan. Ia sesuai bagi mereka yang baru sahaja berkeluarga atau baru mendirikan rumah tangga yang memerlukan ruang kargo yang lebih luas, terutama sekali semasa balik kampung.

Perodua Bezza kini tiba di pasaran dari harga RM37,300 sehingga RM50,800. Ia boleh didapati dalam 5 variasi iaitu; 1.0L “Standard G” Transmisi Manual & Transmisi Automatik; 1.3L “Premium X” Transmisi Manual & Automatik; dan 1.3L “Advanced Version” Transmisi Automatik.

1.3L Dual VVT-i

Perodua Bezza didatangkan dengan enjin 1.0-liter 1KR-VE dengan VVT-i dan enjin 1.3-liter 1NR-VE dengan Dual VVT-i. Transmisi manual mempunyai 5-kelajuan sementara transmisi automatik pula mempunyai 4-kelajuan.

Enjin 1.0-liter mampu menjana 67hp dan 91Nm tork maksima manakala enjin 1.3-liter pula boleh menghasilkan 94hp dan tork maksima 121Nm.

Dengan pemanduan ekonomi, Perodua Bezza boleh mencapai 21.7 km setiap liter bagi enjin 1.3-liter dengan transmisi manual, manakala bagi transmisi automatik pula, ia boleh mencapai 22km bagi setiap liter dengan menggunakan sistem ‘Eco Idle’ yang terdapat dalam varian Advance. Bezza boleh dipandu sehingga 792km dengan menggunakan hanya satu tangki penuh, menurut Perodua.

Perodua Bezza 1.3L Advance (9)

Selain daripada itu, Perodua Bezza dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik seperti auto start/stop (varian 1.3-liter), kunci pintar (varian 1.3-liter), antena shark fin, pembukaan kargo automatik dengan menggunakan kawalan jauh, tingkap automatik dengan perlindungan daripada kerosakan, sensor dibahagian depan, sudut depan dan belakang, kamera belakang, dan banyak lagi.

https://www.youtube.com/watch?v=6isLbLcuDSw

Perodua Bezza varian 1.3 Advance didatangkan dengan peranti link multimedia mudah alih di mana pengguna boleh mengakses media sosial, radio, Bluetooth atau USB. Pengguna juga boleh menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze dan Peta Google melalui “Smart Link” yang boleh disambungkan terus melalui telefon pintar anda kepada skrin multimedia tersebut.

Multimedia Smartlink

Selain daripada itu, penumpang belakang boleh mengecas gajet mereka dengan menggunakan port USB yang terletak di konsol tengah belakang.

Salah satu ciri-ciri menarik Perodua Bezza ialah ruang kargonya sangat besar jika dibandingkan dengan kereta kompak lain dalam segmen ini. Ia memiliki ruang kargo sebanyak 508 liter yang boleh diluaskan lagi apabila anda melipatkan kerusi ruang belakang dengan nisbah 60:40.

Rear Seat Flip (60_40)

Dari segi keselamatan pula, kesemua varian dilengkapi dengan dua beg udara dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX. Selain itu, Perodua Bezza turut didatangkan dengan fungsi Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC), selain daripada Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan (TRC) serta Bantuan Mula Mendaki (HSA). Ciri-ciri keselamatan lain termasuk ABS, EBD dan pengelap cermin depan yang sensitif dengan kelajuan.

Ia boleh didapati dalam 6 jenis warna termasuk; Sugar Brown, Ocean Blue, Lava Red, Ebony Black, Glittering Silver dan Solid Ivory White. Perodua menggunakan cat air mesra alam untuk hasil kemasan yang terbaik.

Perodua_Bezza_Launch (1)

Bagi anda yang berminat, kunjungi mana-mana cawangan Perodua yang berhampiran anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Perodua Bezza. Anda juga boleh membuat tempahan dengan mendepositkan RM300.

Setakat ini, Perodua teleh menerima tempahan sebanyak 4,028 unit sejak tempahan telah dibuka pada lima hari yang lalu. 50% daripada tempahan tersebut adalah untuk varian 1.3L Advance, 35% adalah untuk varian 1.3L Premium X, manakala 15% adalah untuk varian 1.0L MT/AT.

Perodua akan memastikan agar semua tempahan akan dihantar kepada pelanggan dengan secepat mungkin. Setakat ini, Perodua mempunyai 7,000 unit dalam stok dengan penghantaran pertama dijangka akan bermula pada hari esok.

mechpage_bezza_teaser_price

mechpage_bezza_teaser_price (1)

mechpage_bezza_teaser