News

LRT Terus Dari Putra Heights Ke Bandaraya Dibuka Mulai Hari Ini

650px_tren_pertama_laluan_kelana_jaya_berlepas_dari_stesen_putra_heights

Perkhidmatan LRT di Lembah Klang berubah wajah pada hari ini dengan pembukaan 15 stesen baru termasuk stesen integrasi Putra Heights, yang menemukan kedua-dua Laluan Kelana Jaya dan Laluan Sri Petaling.

“Mulai 6 pagi tadi, orang ramai boleh menuju ke KL dari Putra Heights dengan menggunakan LRT. Tiada lagi kesesakan lalu lintas; tiada lagi kerunsingan mencari tempat letak kereta di bandaraya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Encik Ahmad Nizam Mohamed Amin.

“Dari Putra Heights, anda boleh memilih sama ada hendak menggunakan Laluan Kelana Jaya atau Laluan Sri Petaling/Ampang berdasarkan destinasi anda. Ataupun, anda boleh merancang perjalanan dan menggunakan kedua-dua laluan,” tambah beliau.

25062016_lep_2

Di samping menyediakan kemudahan perjalanan terus ke bandaraya dan pertukaran laluan untuk para penumpang, pembukaan penuh Projek Penyambungan Jajaran (LEP) hari ini akan turut menyediakan kemudahan silih-sambungan atau ‘connectivity’ dengan perkhidmatan KTM Komuter dan dengan Bas Rapid Transit – Laluan Sunway.

Sementara silih-sambungan dengan perkhidmatan bas elektrik BRT-Laluan Sunway disediakan oleh stesen USJ 7, pertukaran dengan KTM Komuter Laluan Pelabuhan Klang – Rawang pula disediakan oleh stesen Subang Jaya, yang merupakan dua stesen baru di bawah penyambungan jajaran LEP Kelana Jaya.

“Sepuluh lagi stesen baru untuk Laluan Kelana Jaya adalah Lembah Subang, Ara Damansara, Glenmarie, SS15; SS18; Taipan; Wawasan; USJ 21; Awan Megah; dan Subang Alam. Untuk LEP Laluan Ampang/Sri Petaling, lapan daripada stesen-stesen sudahpun memulakan operasi. Sementara stesen-stesen Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5 dibuka sejak 31 Oktober tahun lepas, empat lagi stesen – IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong dan Bandar Puteri memulakan operasi sejak 31 Mac lepas.

650px_tren_pertama_laluan_ampang_berlepas_dari_stesen_putra_heights

“Baki tiga lagi stesen untuk Laluan Ampang dibuka hari ini untuk operasi adalah stesen Puchong Prima, Puchong Perdana dan Putra Heights, yang berintegrasi dengan Laluan Kelana Jaya. Waktu operasi adalah daripada pukul 6 pagi sehingga tengah malam.

Serentak dengan pembukaan ini, Rapid Bus akan memulakan perkhidmatan bas pengantara atau ‘feeder bus’ bagi memastikan para penumpang dapat menggunakan perkhidmatan ini dengan tenang dan selesa.

Untuk mendapatkan butiran penuh mengenai jadual dan kekerapan bas ini, anda boleh melayari laman web www.myrapid.com.my. Anda juga boleh mendapat maklumat mengenai kemudahan ‘parkir dan gerak’ atau ‘park ‘n ride’ untuk meletakkan kenderaan anda sekiranya memilih untuk tidak menaiki bas. Kawasan ‘parkir dan gerak’ adalah percuma untuk satu bulan pertama.